ALOR GAJAH: Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 216, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, di sini pagi tadi

Mereka yang terlibat merupakan sepasang suami isteri yang berusia 28 tahun dan anak lelaki berusia lingkungan setahun.

Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pegawai Bomba Kanan II, Muhamad Ezanee Hamat, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 11.02 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar terdapat kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah kenderaan, iaitu Honda Jazz yang dinaiki sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak berumur setahun, serta sebuah lori jenis Isuzu.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Kejadian berkenaan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang lebih tiga kilometer bagi laluan menghala ke utara.