GEORGE TOWN: Tindakan berani sepasang suami isteri menanam pokok ganja di balkoni sebuah kondominium di Ayer Itam di sini, membawa padah apabila perbuatan itu terbongkar menyebabkan mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 38 dan 36 tahun ditahan dalam operasi yang dilakukan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut kira kira pukul 1.30 pagi Selasa.

Soffian berkata, suspek lelaki sebelum itu ditahan di bawah kondominium terbabit bersama dua paket plastik syabu seberat 12.61g dan satu paket plastik ganja (4.2g) yang bernilai RM1,461.

Susulan penangkapan itu, polis menyerbu kondominium didiami suspek dan menahan isterinya.

Pemeriksaan lanjut polis menemui pokok ganja yang ditanam di dalam dua buah pasu setinggi 19 sentimeter (sm) dan 40 sm dianggarkan bernilai RM1, 180 di balkoni berkenaan.

Soffian berkata, siasatan mendapati pasangan yang bekerja di sebuah stesen minyak itu menanam sendiri pokok ganja berkenaan selepas percubaan menyemai biji benih berjaya.

Katanya, benih pokok ganja itu diperolehi melalui ganja yang dibeli suspek dan ia ditanam sejak kira-kira lima bulan lalu.

Selain pokok ganja , polis turut menemui 13 paket lutsinar mengandungi bahan disyaki ganja seberat 163 gram (g) bernilai RM8,150 dan peralatan menghisap dadah di ruang tamu rumah.

Menurut Soffian, polis turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora bersama dadah berkenaan yang bernilai RM10,791.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif ganja, dan kedua-dua mereka direman selama enam hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a), Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Rabu.