KUALA LUMPUR: Sindiket 'Bahnu Internationals' yang menyeludup kanak-kanak warga Sri Lanka ke Eropah menggunakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) tumpas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalang sindiket itu iaitu sepasang suami isteri tempatan telah diberkas di sekitar ibu negara pada 12 April lalu.

Menurutnya, sindiket yang dikesan imigresen Kuala Lumpur itu mendapati modus operandinya ialah menggunakan ibu atau bapa rakyat Malaysia daripada keluarga miskin yang mempunyai anak di bawah umur 12 tahun untuk memanipulasi maklumat diri kanak-kanak tersebut.

"Sindiket ini akan memperdaya ibu bapa rakyat Malaysia supaya membawa sijil lahir anak bawah 12 tahun hadir ke pejabat imigresen seolah-olah untuk membuat PMA untuk anak sendiri.

"Tetapi semasa proses permohonan di kaunter imigresen, kanak-kanak dari Sri Lanka yang hampir sama umur dengan anak sebenar akan dibawa ke hadapan kaunter bagi tujuan rakaman cap jari dan proses ambil gambar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pasangan suami isteri terbabit juga bertindak sebagai ‘transporter’ dengan membawa kanak-kanak Sri Lanka yang telah berjaya memperoleh PMA ke negara Eropah.

Katanya, berdasarkan keterangan daripada bapa kanak-kanak yang diperdaya itu, dia dibayar RM500 untuk hadir membawa dokumen asal anak kandung sebelum digunakan untuk urusan pasport kanak-kanak Sri Lanka terbabit.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini menerima upah sebanyak EUR30,000 hingga EUR50,000 bagi setiap seorang kanak-kanak Sri Lanka yang diuruskan permohonan PMA dan diiring ke negara Eropah," ujarnya.

Mengulas lanjut, kegiatan pasangan terbabit terbongkar semasa mereka hadir ke Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk tujuan mendapatkan PMA bagi seorang kanak-kanak Sri Lanka.

Jelasnya, kepekaan dan tindakan pantas pegawai imigresen di Bahagian Pasport yang menyedari serta mengesan terdapat keraguan dalam permohonan PMA kanak-kanak tersebut kemudian mengambil tindakan lanjut menemu bual kanak-kanak setelah didapati ada perbezaan rupa paras yang ketara dengan penjaga dan gagal bertutur Bahasa Malaysia.

"Pasangan terbabit masing-masing berumur 37 dan 26 tahun dituduh di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 di Mahkamah Seksyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur," katanya.

Justeru, imigresen menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran dan tipu helah sindiket.

"Jika terdapat sebarang keraguan berhubung kait dengan imigresen, orang ramai boleh merujuk terus ke jabatan ini atau mendapatkan maklumat terkini melalui laman web serta akaun media sosial rasmi imigresen," ujarnya. - Sinar Harian