BENTONG: Sepasang suami isteri ditemui maut dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah hotel di Genting Highlands di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan  Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan di kaunter  aduan Balai Polis Genting Highlands sekitar jam 9.45 malam yang memaklumkan seorang lelaki dan wanita warganegara tempatan telah terjatuh dari bangunan sebuah hotel.

"Hasil siasatan awal polis mendapati sepasang suami isteri masing-masing berusia 37 tahun dari Taiping, Perak telah datang ke Genting Highlands pada 11 Mei (Khamis).

"Kedua-dua mereka telah mendaftar masuk ke sebuah bilik hotel di pusat peranginan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil pemerikaan rakaman kamera  litar tertutup (CCTV) mendapati bermula dari tarikh kedua-dua mangsa mendaftar masuk sehingga tarikh kejadian tiada sesiapa yang keluar masuk ke bilik hotel berkenaan kecuali pasangan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan pihak polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah di dalam kes ini.

"Laporan bedah siasat oleh pihak hospital ke atas mangsa lelaki mendapati kematian akibat 'massive hemothorex' manakala isterinya maut disebabkan 'severe head injury'," katanya.

Tambahnya lagi, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya ada maklumat berkaitan kes ini boleh terus menghubungi Bilik Gerakan (DCC) IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan.


* Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499).