Kadir mengeluh kerana apabila kerajaan tidak popular maka UMNO juga jadi tidak popular "sebab orang ramai keliru antara UMNO dan kerajaan, kerajaan dan UMNO."
Ini bukan kali pertama Kadir membangkitkan soal pemisahan kuasa antara UMNO dan kerajaan. Awal tahun ini, di blog yang sama, beliau menyuarakan cerita yang sama dan bertanya: "Masih adakah tempat orang Melayu bergantung?"
Kadir dalam satu wawancara dalam Analisis Awani baru-baru ini sekali lagi menyentuh perkara itu. "Saya bimbang UMNO tidak lagi dapat meyakinkan ahli-ahlinya sendiri khasnya dan orang Melayu amnya untuk terus menyokong UMNO dan untuk terus bergantung kepada UMNO sebagai parti induk di negara kita," katanya.
Pertanyaan itu adalah hal-hal yang tidak selesai bagi Kadir kerana beliau pernah membangkitkannya kira-kira 17 tahun lalu. Ketika itu, beliau menulis sebuah rencana dengan tajuk Suara UMNO, Melayu dan kerajaan. Tulisannya itu disiarkan di Mingguan Malaysia pada 18 Februari 1996. Tulisan itu mencetuskan polemik dalam akhbar dan majalah berbahasa Melayu yang berlarutan sekurang-kurangnya selama dua bulan.
Dalam tulisannya itu beliau melontarkan beberapa soalan, antaranya: Siapakah yang berada dalam struktur kuasa yang bercakap bagi pihak orang Melayu mengenai bahasa, budaya, pendidikan dan ekonomi? Apakah suara kerajaan yang ramai perwakilan Melayu boleh dianggap sebagai suara orang Melayu? Apakah UMNO suara mutlak orang Melayu?
Tiga minggu selepas tulisan itu tersiar, Tun Daim Zainuddin mengulas pertanyaan-pertanyaan Kadir melalui satu rencana bertajuk Orang Melayu Hilang Keberanian. Rencana itu diterbitkan pada 10 Mac 1996 juga di Mingguan Malaysia. Tulisan Daim pendek sahaja tapi padat dan menyengat.Daim yang setuju dengan pandangan Kadir menyalahkan akhbar Melayu kerana "begitu berjaya sekali membisukan suara Melayu". Menurut Daim, oleh kerana pemimpin Melayu dalam kerajaan adalah pemimpin kanan UMNO, apa yang dibuat oleh kerajaan semuanya dianggap baik. Akhbar Melayu akan menghentam mereka yang menegur kerajaan atau pandangan mereka itu tidak dihiraukan.
Pemimpin UMNO pula takut untuk bersuara kerana kedudukan kuasa yang ada pada mereka itu dilihat sebagai papan lonjak untuk jadi kaya. Makanya, kata Daim, orang Melayu menyokong kerajaan secara buta tuli. Orang Melayu "tidak berani menyoal lagi; tidak berani bersuara lagi; takut dituduh anti itu, anti ini". Orang Melayu mahu jaga periuk nasi sehingga tidak sanggup menyoal apa-apa.
"Inikah Melayu yang mahu kita bariskan?" Tanya Daim. Beliau kemudian menutup tulisan pendeknya itu dengan satu cabaran: "Kita mahu Melayu yang berani beri buah fikiran. Melayu mesti melahirkan pemimpin yang berani mengeluarkan fikiran bernas kalau mahu terus maju."
Polemik yang timbul susulan tulisan Kadir dan reaksi Daim itu disertai oleh cerdik pandai Melayu daripada pelbagai latar belakang. Ia membincangkan persoalan-persoalan berikut: Apakah benar orang takut memberikan pendapat? Adakah akhbar keberatan menyiarkan pandangan yang bertentangan dengan pendirian kerajaan? Adakah cerdik pandai Melayu takut bersuara kerana menjaga kepentingan dan kedudukan peribadi? Apakah golongan cerdik pandai diketepikan atau mereka sebenarnya meminggirkan diri?
Apa yang diketengahkan oleh Kadir dan Daim 17 tahun lalu itu wajar untuk kita renung semula biarpun dalam beberapa hal, keadaannya mungkin tidak lagi sama sekarang. Landskap media sudah berubah dengan munculnya laman web berita yang pemberitaannya memenuhi kekosongan yang (sengaja) ditinggalkan oleh media arus perdana. Landskap politik juga tidak lagi sama.
Pilihan raya umum pada 2008 telah mengubah peta politik negara. Perubahan itu dikukuhkan lagi dengan keputusan pilihan raya umum 2013 pada Mei lepas. Dua pilihan raya itu jelas menunjukkan bagaimana orang Melayu sebenarnya sudah tidak lagi bergantung nasib sepenuhnya kepada UMNO. Mereka kini sudah ada pilihan iaitu Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP yang membentuk kerjasama longgar dalam Pakatan Rakyat.
Itu sebabnya apabila UMNO menyuarakan soal perpaduan Melayu dengan PAS misalnya, tidak banyak orang yakin hasrat itu akan tercapai. Ini kerana perpaduan itu dilihat dalam kerangka bahawa hanya ada satu wadah saja yang boleh menaungi orang Melayu — sedangkan orang Melayu sudah berubah. UMNO kata PAS mesti bubar; PAS juga kata UMNO mesti bubar — barulah orang Melayu bersatu. Tetapi orang Melayu sudah jauh maju pemikirannya meninggalkan cara pemimpin politik berfikir kerana mereka tidak lagi bergantung harap hanya kepada UMNO atau PAS sahaja.
Selebihnya, ada pula NGO. Apabila UMNO terperosok selepas pilihan raya umum pada 2008 dan dilihat tidak lagi memahami keresahan orang Melayu, muncul pula NGO yang menjuarai suara orang Melayu khususnya Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa). Ketika UMNO dilihat membisu kepada beberapa isu mendesak yang melibatkan orang Melayu, badan seperti Perkasa duduk di depan membawa suara orang Melayu.
Kempen memansuhkan pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga bukannya digerakkan oleh UMNO tetapi penulis, seniman, budayawan dan ahli akademik serta cerdik pandai Melayu yang kebanyakannya tidak ada kena-mengena dengan UMNO. Dalam isu rundingan perjanjian perdagangan bebas dengan 11 negara yang dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik pun sama — kita mendengar suara yang lebih lantang daripada NGO.
Tetapi — kita jujur saja dengan diri sendiri — tiadanya suara lantang dalam parti bukan masalah UMNO semata-mata. Itu juga masalah parti-parti yang membentuk Pakatan Rakyat yang sekarang mentadbir beberapa negeri. Sedar tidak sedar, apabila jadi kerajaan mereka yang tidak pernah henti mengutuk UMNO itu perlahan-lahan jadi tidak ubah seperti parti yang mereka kecam itu: 2 x 5.
Inilah krisis kita; krisis zaman ini. Seolah-olahnya, di negeri ini hanya ada satu suara saja yang boleh diterima. Berbeza pandangan semacam jadi satu dosa. Kita bangga mengaku sebagai sebuah masyarakat yang rencam budaya tetapi tidak pula menerima sepenuhnya kepelbagaian itu. Parti-parti politik bangga memukul canang kononnya parti dia sajalah yang lebih demokrasi daripada parti orang lain tetapi tanpa sedar parti dia juga ikut sama memaksa pemikiran yang tunggal atau monolitik.
Ini menjadikan proses pembetulan, pembaikan atau perubahan dari dalam cukup sukar untuk dilakukan oleh parti politik. Parti politik banyak melakukan perubahan dengan desakan yang datang dari luar dan bukannya dari dalam. Ini kerana suara berani yang ada dalam parti politik adalah suara yang akan tenggelam atau terdengar sumbang kerana tidak senada dengan suara parti yang juga suara kerajaan.