KOTA BHARU: Sejak COVID-19 melanda Malaysia, industri pelancongan merupakan sektor paling teruk terjejas dengan menyaksikan banyak pemain industri itu termasuk hotel, ejen pelancongan dan bas persiaran gulung tikar.

Menjelang 2022 yang menyaksikan tiada lagi sekatan besar-besaran apabila negara sudah memasuki fasa endemik, industri pelancongan dijangka akan kembali mendapat nafas baharu.

Tinjauan dalam kalangan pemain industi pelancongan di Kelantan mendapati, mereka berharap 2022 menjadi tahun kebangkitan semula dan permulaan baharu sektor berkenaan.

Mereka bagaimanapun mengakui, sokongan serta bantuan kerajaan adalah penting dalam fasa berkenaan dan berharap tidak dipinggirkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

BACA SEMUA BERHUBUNG RANCANGAN MALAYSIA KE-12 DI SINI

Bendahari Persatuan Gabungan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Kelantan, Raja Rusmin Raja Mahmud, berkata industri perhotelan tidak dapat beroperasi selama kira-kira setahun setengah, menyebabkan kerugian amat besar.

Justeru, katanya mereka mempunyai harapan besar supaya banyak perkara dipermudahkan demi kebaikan bersama.

"Kami harapkan untuk RMK-12, antaranya kerajaan dapat beri kelonggaran berkaitan urusan dokumentasi, selain memberi diskaun atau rebat serta bantuan lain yang bersesuaian dalam usaha untuk menyokong pengusaha untuk bangkit semula.

"Selepas sekian lama terjejas, untuk memulakan kembali operasi pasti agak sukar, jadi ketika inilah kami amat memerlukan sokongan kerajaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain itu kerajaan juga diminta membaik pulih banyak kawasan pelancongan yang mengalami kerosakan selain mempergiatkan kempen pelancongan domestik.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan, Mohd Norisham Muhammad Nawi, berharap kerajaan memberi perhatian kepada seluruh rantaian yang terbabit dalam industri pelancongan.

Katanya, ini kerana setiap pihak memainkan peranan penting dan saling melengkapi dalam ekosistem berkenaan.

"Macam kami pemandu pelancong berlesen, bergantung kepada agensi pelancongan. Tapi banyak agensi pelancongan kini sudah ibarat hidup segan mati tak mahu... malah bayak juga yang sudah ditutup terus disebabkan tekanan ekonomi dihadapi mereka.

"Jadi harapan kami agar kerajaan bagi suntikan dana untuk setiap agensi pelancongan untuk memberi nafas baharu seterusnya merancakkan semula industri ini.

"Kami juga harap kerajaan tambah penguatkuasaan terhadap pemandu pelancong yang tidak berlesen selain memastikan setiap bas persiaran menggunakan khidmat pemandu pelancong," katanya.