PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU) kali ini akan menentukan bagaimana negara dipacu dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu global selain pemulihan ekonomi negara pascapandemik COVID-19.

Menjelang hari penamaan calon dan hari pengundian tidak lama lagi, kami membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyuarakan suara anda melalui kaji selidik soalan tertentu di pelbagai platform Astro AWANI.

Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi - adakah anda mahu YB (Yang Berhormat / wakil rakyat) muka baharu atau dikenali?

Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Selasa.

Daripada 3,746 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, majoriti iaitu seramai 73 peratus menyatakan mereka mahu YB muka baharu.

Mengikut pecahan, hanya 23 peratus yang mahu YB yang dikenali, manakala empat peratus lagi memberitahu mereka tidak pasti.

Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.

Kaji selidik itu dibincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.

Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.

Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 Astro AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.