KUALA LUMPUR: Peningkatan kos sara hidup sememangnya diketahui menjadi kebimbangan utama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), rakyat pastinya menantikan pelbagai inisiatif daripada kerajaan yang dapat meredakan kebimbangan mereka, bukan sahaja berkaitan ekonomi tetapi juga aspek lain.

Kami telah bertanyakan kepada anda di pelbagai platform Astro AWANI.

Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi -  Apa kebimbangan utama anda ketika ini?

Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Isnin.

Daripada 964 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati 77 peratus responden bimbang berkenaan isu berkaitan inflasi.

Sebanyak 14 peratus pula melihat jenayah sebagai pencetus utama kerisauan, manakala baki sembilan peratus bimbang tentang perubahan iklim.

Mengangkat tema "Pantau Kerajaan Baharu" sempena PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.

Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.

Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.

Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.

Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.