KUALA LUMPUR: Isu kos sara hidup, khususnya berkaitan harga barangan semakin menekan kehidupan rakyat Malaysia ketika ini.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum ini ada menekankan ia menjadi keutamaan dalam pentadbirannya dan mahu fokus kepada jalan penyelesaiannya.

Kami telah bertanyakan kepada anda di pelbagai platform Astro AWANI.

Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi -  100 hari pertama kerajaan, apa fokus utama anda?

Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Ahad.

Daripada 4,155 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati 87 peratus mahu kerajaan memberi fokus kepada isu kos sara hidup.

Sebanyak tujuh peratus pula merasakan kerajaan perlu beri tumpuan kepada pelaburan manakala baki enam peratus memilih isu pendidikan.

Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.

Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.

Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.

Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.

Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.

Keputusan Suara Malaysia hari ini.