APABILA kenaikan harga makanan melebihi paras kebiasaan sudah tentu ia merisaukan banyak pihak bukan sahaja di peringkat pembeli malah peniaga juga turut terkena tempias sama.

Sudah tentu kegelisahan dalam kalangan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah perlu diambil kira dalam isu ini.

Apabila permintaan terhadap sesuatu makanan melebihi penawaran, harga akan meningkat dan apabila penawaran melebihi permintaan harga akan jatuh. Ini ‘hukum’ pasaran bebas.

Melalui kaji selidik #SuaraMalaysia oleh Astro AWANI, soalan "Pantau harga: Kos apa yang meresahkan anda?" diajukan sejak awal minggu ini.

Tiga pilihan jawapan kami berikan iaitu makanan, perubatan dan pengangkutan.

Kredit: Astro AWANI

Daripada 1,379 responden, 85 peratus atau 1,174 menjawab makanan menjadi keresahan mereka.

Dalam pada itu, 11 peratus bersamaan 154 responden menjawab perubatan, manakala empat peratus atau 51 responden menjawab pengangkutan.

Keputusan ini diperoleh setakat jam 7 petang tadi.

Mengangkat tema "Pantau Kerajaan Baharu" pasca-PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.

Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis dan badan-badan bukan kerajaan.

Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.

Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.

Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera  untuk mengakses soalan yang disediakan.