KUALA LUMPUR: Senarai timbalan menteri bakal diumumkan malam ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seperti proses melantik menteri Kabinet, pemilihan timbalan menteri tertakluk kepada peraturan tertentu dan bergantung kepada jumlah Ahli Parlimen parti yang membentuk kerajaan.

Kami telah bertanyakan kepada anda di pelbagai platform Astro AWANI.

Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi -  Apa pertimbangan dalam memilih timbalan menteri?

Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Jumaat.

Daripada 3,547 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati 91 peratus memilih kepakaran sebagai pertimbangan utama dalam memilih timbalan menteri.

Sebanyak enam peratus pula memilih jenama parti, manakala baki tiga peratus memilih populariti.

Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.

Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.

Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.

Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.

Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.