Menerusi kaji selidik #SuaraMalaysia yang dilakukan Astro AWANI, didapati ramai yang sudah tahu siapa yang bakal mereka undi berdasarkan soalan yang kami tanyakan sejak jam 12 tengah malam tadi – ‘Anda sudah tahu siapa yang bakal anda undi 19 November ini?’
Daripada 2,232 responden yang mengikuti kaji selidik ini, seramai 2,053 responden menjawab ‘ya’, yang mewakili 92 peratus daripada keseluruhan individu.
Namun, masih ada sebilangan kecil yang menjawab tidak tahu siapa yang bakal menjadi pilihan mereka iaitu sejumlah dua peratus atau 45 responden dan seramai 134 responden atau enam peratus lagi menjawab mereka 'tidak pasti’.
Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.
Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.