KUALA LUMPUR: Suasana sepi dan pilu menyelubungi dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, Jalan Ipoh, di sini, apabila kira-kira 600 murid dan guru berkumpul pada majlis memperingati dan memberi penghormatan terakhir kepada mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor, dekat sini dua minggu lalu.

Daripada 31 mangsa korban, 11 mangsa adalah dari sekolah berkenaan.

Pelajar dan guru dilihat hadir seawal pukul 8 pagi, berpakaian seragam dan kemudian menyanyi lagu-lagu sebagai mengenang pemergian mangsa.

Majlis dimulakan dengan bertafakur kira-kira dua minit bagi menghormati enam guru, tiga pelajar, pengusaha kantin serta pekerjanya.

Ketika rakaman video dimainkan, pada hadirin dilihat tidak dapat menahan rasa sedih dan sebak mengenangkan gambar-gambar mangsa berserta audio suara mangsa dimainkan.

Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi 16 Disember itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

Daripada jumlah mangsa yang maut, 18 merupakan mangsa dewasa manakala 13 lagi kanak-kanak.