KUALA LUMPUR: Unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang berjumlah RM77.3 bilion setakat ini bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz.

Beliau berkata unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

Unjuran subsidi untuk 2022 itu adalah jika harga bersubsidi serta harga pasaran minyak, arang batu dan komoditi lain kekal pada paras semasa, katanya.

"Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) (RM11.7 bilion) dan lain-lain subsidi (RM14.6 bilion), jumlah keseluruhan subsidi setakat ini adalah RM77.3 bilion bagi 2022," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata ini juga mengambil kira pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai bantuan tunai tambahan RM630 juta yang meningkatkan jumlah BKM Fasa 2 bagi golongan berpendapatan rendah kepada RM1.74 bilion mulai 27 Jun, 2022.

Selain itu, subsidi elektrik bernilai RM5.8 bilion untuk separuh tahun kedua bagi memastikan tiada kenaikan tarif elektrik mulai 1 Julai, 2022 turut diambil kira, katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan peka terhadap kenaikan harga komoditi dan kadar inflasi ekoran gangguan kepada rantaian bekalan global dan konflik Ukraine-Rusia, yang telah mengakibatkan impak kenaikan harga barangan asas ke atas kebanyakan negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Sehubungan itu, subsidi kerajaan bertujuan menampung kos sara hidup rakyat, katanya.

Beliau berkata kerajaan juga ingin memaklumkan bahawa subsidi menyeluruh yang meliputi petrol, diesel, air dan elektrik juga memberi manfaat yang besar kepada golongan M40 dan T20.

"Kementerian Kewangan akan terus memantau faktor-faktor luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik bagi memastikan kos sara hidup rakyat terkawal," katanya.

-- BERNAMA