KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghormati dan mengiktiraf hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Suhakam dalam kenyataan hari ini berkata, mereka amat bimbang dengan tindakan polis yang berlebihan terhadap perhimpunan dan hak rakyat untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka.

Suruhanjaya itu turut memberikan contoh insiden penahanan 31 belia yang berhimpun untuk memperingati mereka yang kehilangan nyawa akibat COVID-19 serta penutupan jalan-jalan utama dan pengangkutan awam menghala ke Kuala Lumpur dan Dataran Merdeka berikutan perhimpunan kedua 'Keluar dan Lawan' yang telahpun dibatalkan.

Jelas Suhakam, dua insiden berkenaan mendedahkan tindakan yang tidak selaras dengan negara sebagai pemegang tanggungjawab, memikul tanggungjawab untuk membenarkan dan membantu rakyat, sebagai pemegang hak, terhadap hak mereka mengadakan himpunan secara aman.

“Dilaporkan peserta vigil itu, yang ditahan secara paksa dan dibawa ke balai polis, ketika itu tidak diberitahu tentang hak mereka atau asas penahanan.

“Laporan menyatakan ahli kumpulan itu tidak diberikan akses kepada peguam, adalah jelas melanggar hak perlembagaan mereka seperti dinyatakan dalam Artikel 5 dan 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tambah Suhakam, tiada halangan seharusnya dikenakan terhadap pelaksanaan hak ini sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 21 Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

Tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab polis untuk memudahkan hak rakyat untuk berhimpun sepertimana yang disaksikan semasa perhimpunan pertama 'Keluar dan Lawan' pada 31 Julai 2021.

“Dengan kerjasama baik antara polis dan penganjur, semua rakyat Malaysia mungkin dapat menikmati hak untuk berhimpun secara aman, dan satu hari nanti tidak lama lagi, hak kebebasan bersuara mereka akan dapat dipenuhi,” katanya lagi.

Pada Khamis, 31 individu ditahan kerana mengadakan acara menyalakan lilin di Dataran Merdeka sebagai mengenang kesedihan terhadap mereka yang kehilangan orang tersayang akibat COVID-19.

Berdasarkan kepada video dan gambar yang dirakamkan hari itu, individu terbabit dibawa ke trak polis dan dibawa ke ibu pejabat polis di Dang Wangi.