Sukan Komanwel: PM ucap tahniah kejayaan Pearly Tan-M Thinaah raih pingat emas ketujuh

Bernama
Ogos 8, 2022 20:04 MYT
M Thinaah dan Pearly Tan memenangi pingat emas setelah mengalahkan pemain England Birch Chloe dan Smith Lauren pada aksi badminton akhir semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Center pada Isnin. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya merangkul pingat emas pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England, pada Isnin.
Kejayaan menghadiahkan pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia pada hari terakhir temasya diraih selepas pasangan itu mengalahkan beregu dari England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8 pada aksi final di Pusat Pameran Nasional (NEC).
"Pingat emas ketujuh Malaysia! Sasaran enam pingat emas tercapai!" kata perdana menteri menerusi catatan di Twitter beliau, malam tadi.
Ismail Sabri juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengurus pasukan, jurulatih, atlet dan seluruh kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2022 Birmingham.
Malaysia melengkapkan kempen temasya Komanwel Birmingham dengan mengumpul tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #tahniah #pingat emas #Sukan Komanwel Birmingham 2022