Sukma: Perak tawar insentif sehingga RM5,000

Bernama
Ogos 30, 2022 00:45 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) menyerahkan Bendera Perak 'Belang Tarung Tiga Warna' kepada Ketua Kontinjen SUKMA Perak Johari Sham Ahmad Shohor Affendi (dua, kanan). - Foto BERNAMA
BAGAN SERAI: Kerajaan negeri Perak akan memberi insentif sehingga RM5,000 kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, yang akan diadakan pada 16 hingga 24 Sept ini di Kuala Lumpur.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata insentif tersebut akan diberikan mengikut kategori individu dan berpasukan bagi meningkatkan semangat juang para atlet.
"Kategori individu yang berjaya meraih pingat emas akan memperoleh insentif sebanyak RM5,000, RM3,000 bagi pingat perak dan RM1,000 bagi pingat gangsa setiap seorang.
"Bagi kategori acara berpasukan pula setiap seorang akan menerima RM2,500 bagi pingat emas, RM1,500 bagi pingat perak dan RM500 bagi pingat gangsa," katanya selepas menyerahkan bendera negeri kepada Kontinjen Sukma Perak di sini pada Isnin.
Selain itu, Saarani berkata atlet yang berjaya memecahkan rekod akan turut menerima RM1,000 setiap seorang.
Beliau berkata seramai 531 orang atlet Perak akan menyertai 426 acara dalam 31 jenis sukan pada temasya tersebut.
Dilaporkan pada 14 Julai lepas, Kontinjen Perak menyasarkan 50 pingat emas dalam temasya Sukma mengambil kira pencapaian semasa atlet negeri itu.
-- BERNAMA
#Saarani Mohamad #SUKMA #atlet raih pingat #atlet negeri perak