JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan yang lebih buat pembangunan negeri itu melihat kepada sumbangan hampir RM13 bilion yang diberikan kepada kerajaan hasil dari negeri itu.

Baginda dalam masa sama menzahirkan perasaan sedih apabila melihat kepada keadaan beberapa bangunan kerajaan di Johor yang tidak diselenggara dengan baik.

Ini termasuk kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang memerlukan penambahbaikan serta sistem yang lebih cekap.

“Saya rasa seolah-olah Johor ini dianaktirikan, walhal Johor adalah antara penyumbang utama ekonomi negara.

“Saya menyeru kerajaan Persekutuan segera tunaikan janji untuk menaik taraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru menjadi empat lorong sepenuhnya.

“Lihatlah juga keadaan jalan-jalan Persekutuan yang rosak dan berlubang, contohnya jalan Johor Bahru-Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya,” titah Baginda ketika Ucapan Perasmian Mesyuarat Kedua Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar pada Khamis.

Selain itu, Baginda turut kecewa dengan dengan keputusan kerajaan pada 2018 yang bertindak membatalkan permohonan rayuan tuntutan Batu Puteh tanpa merujuk terlebih dahulu dengan Johor kerana ianya melibatkan tanah dan kedaulatan negeri itu.

“Perdana Menteri ketika itu telah membuat keputusan sendiri setelah dia arahkan Peguam Negara cuti berehat dan ketika itu Kabinet belum dibentuk.

“Kerajaan Johor juga langsung tidak dirujuk sedangkan keputusan itu melibatkan tanah dan kedaulatan Johor.

“Kerajaan bertindak tegas terhadap individu ketika itu yang telah melanggar kuasa negeri malah sekiranya kuasa negeri telah dicabuli, maka Perjanjian Persekutuan itu boleh dianggap terbatal dengan sendirinya dan Johor bukan lagi sebahagian dari Persekutuan,” kata baginda lagi.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menegaskan, Johor berkemungkinan akan lebih maju sekiranya berdiri di atas kaki sendiri.

"Jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar Malaysia, mungkin Johor akan lebih maju jika berdiri atas kaki sendiri," titah baginda.

Tegas baginda lagi, sekiranya keadaan ini berterusan maka jangan sesekali mengimpikan untuk menarik pelaburan besar ke negeri itu. 

Justeru, Sultan Ibrahim menggesa agar barisan kepimpinan kerajaan untuk segera melakukan perubahan di Johor terutamanya dari aspek infrastruktur.