YAN: Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini berkenan meninjau kesan bencana akibat fenomena kepala air yang berlaku pada 18 Ogos lepas di Titi Hayun di sini.

Keberangkatan tiba Sultan Kedah pada 9.45 pagi itu disambut Pegawai Daerah Yan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak Datuk Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Sebelum meninjau keadaan di sekitar kawasan Titi Hayun itu, Sultan Sallehuddin dipersembahkan taklimat mengenai kronologi insiden berkenaan oleh Tunku Iskandar Shah, diikuti taklimat daripada Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar Haji serta Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah, Perlis dan Pulau Pinang Abdullah Sulaiman.

Baginda turut berkenan menyampaikan kurniaan peribadi kepada mangsa bencana itu menerusi Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Paduka Bakar Din memaklumkan Sultan Sallehuddin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa tragedi itu dengan mengharapkan mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan tersebut.

"Baginda turut berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar roh individu-individu yang terkorban dalam tragedi itu ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Bakar berkata Sultan Kedah berharap fenomena itu dapat dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua pihak supaya menghargai khazanah alam semula jadi dan memelihara serta menjaga alam sekitar.

-- BERNAMA