Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dan kecewa apabila hanya 203 daripada 873 orang guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Ahli Jawatankuasa Masjid serta Jurunikah di Selangor hadir ke Program Vaksinasi Khas COVID-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) anjuran jabatan itu hari ini.

Dalam satu kiriman di akaun Instagram rasminya, Baginda turut menzahirkan rasa dukacita apabila 96 daripada 203 orang itu menolak vaksin COVID-19.




Titah Baginda, kedegilan golongan ini hanya akan menyusahkan urusan rakyat, khususnya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA.

JAIS bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam di Selangor.

Ini termasuk memperluas dan memudahkan pemberian vaksin COVID-19 kepada petugas-petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.

Baginda turut bertitah akan meneliti nama guru-guru KAFA, Ahli Jawatankuasa Masjid serta jurunikah yang enggan divaksin sebelum membuat satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka.