SHAH ALAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila masih ramai dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam di Selangor yang terlibat dengan amalan rasuah, biarpun sudah berkali-kali diberi peringatan.

Dalam ucapan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, baginda menitahkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menjalankan siasatan menyeluruh bagi membersihkan Selangor dari amalan rasuah.

"Beta kesal kerana masih ada yang tidak jujur di dalam melaksanakan amanah yang diletakkan kepada mereka sebagai penjawat awam dan pemimpin politik walaupun telah seringkali beta ingatkan untuk tidak melibatkan diri dengan gejala rasuah yang boleh merosakkan bangsa dan negara.

"Beta tidak mahu mendengar sebarang laporan tentang penglibatan mana-mana pegawai kerajaan dan pemimpin politik dalam amalan rasuah ini," titah baginda.

Sultan Selangor dukacita dan kesal melihat pergolakan politik negara

Justeru, Sultan Selangor memberi peringatan kepada anggota Dewan, agar terus menjalankan tugas dan memberi khidmat dengan ikhlas dan amanah, serta menghentikan perbalahan dan perebutan kuasa.

"Nampaknya Yang Berhormat tidak mahu belajar dari sejarah tentang kejatuhan sesebuah negara akibat perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan di dalam masyarakat.

"Tidakkah Yang Berhormat sedar bahawa apabila pemimpin-pemimpin politik berebut kuasa dan keadaan politik menjadi tidak stabil maka rakyat yang terpaksa menanggung kesusahannya.

"Yang Berhormat sepatutnya mengambil tahu tentang masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat di kawasan masing-masing khususnya mengenal pasti apakah bantuan yang perlu disalurkan kepada rakyat yang terjejas.

"Rakyat di bawah sana memerlukan anda untuk membantu kesusahan yang sedang mereka lalui.

"Bantulah mereka, carilah mereka, bukan sekadar mencari mereka untuk mendapatkan undi sewaktu pilihan raya semata-mata," tegas baginda.

Keadaan COVID-19 menjadi teruk akibat tindakan rakyat dan pemimpin - Sultan Selangor

BACA: Sultan Selangor ingatkan individu lengkap vaksinasi tidak ambil mudah, rasa diri kebal

Persidangan pertama DUN Selangor penggal ke-14 itu bakal berlangsung sehingga 3 September.