KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik keahlian Darjah Kebesaran Dato Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A) yang membawa gelaran Datin Paduka terhadap OC Phang @ Phang Ai Tu.

Ia susulan individu tersebut telah diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Jelasnya, penarikan itu bagi menjunjung Titah Sultan Selangor dan rundingan Dewan Diraja Selangor.

"Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran D.S.S.A adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 11 Oktober 2021, memandangkan beliau adalah seorang yang tidak layak dan sesuai memegang Darjah Kebesaran ini.

"Justeru itu, beliau dilarang daripada menggunakan Darjah Kebesaran dan gelaran Datin Paduka, dan begitu jua mana-mana pihak lain turut ditegah daripada memanggil beliau dengan menggunakan gelaran berkenaan memandangkan kurniaan tersebut telah pun ditarik balik dan dibatalkan," jelasnya dalam kenyataan media itu.

Penarikan darjah kebesaran itu tambahnya, selari dengan kuasa Baginda Sultan Selangor di bawah Perkara 39 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Statut Darjah Kebesaran yang berkenaan.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor memandang berat tentang reputasi penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor terutama dalam kalangan pegawai terlibat dengan pertuduhan mana mana perlakuan tidak sihat dan tidak berintergriti seperti melakukan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juag memberi peringatan kepada semua pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan bahawa langkah langkah wajar dan tindakan tegas hendaklah dilaksanakan bagi membendung gejala rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa, amalan tidak berintergriti dan masalah keberhutangan wang yang serius," jelasnya lagi.

Pada September 2010, Sultan Selangor menggantung gelaran dan penggunaan Darjah Kebesaran terhadap OC Phang yang juga Bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan membabitkan pecah amanah pada tahun 2009.