SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah supaya sebarang perbezaan pendapat antara mufti dan agamawan hanya dibincangkan di dalam muzakarah dan tidak dibawa keluar dari ruang perbincangan itu.

Sultan Sharafuddin menasihati agar perbalahan yang terjadi antara ulama-ulama tersebut tidak seharusnya menjadi tontonan orang awam kerana perkara berkenaan hanya akan merendahkan kewibawaan golongan itu sendiri.

"Beta menasihatkan para mufti yang berada di dalam dewan ini untuk sentiasa menghindarkan diri daripada perbalahan agama di ruang awam, lebih-lebih lagi jika isu yang berbangkit telah kita putuskan secara bersama dalam ruang muzakarah.

"Sebab itulah, sepanjang 2022, satu daripada isu yang membangkitkan rasa dukacita beta ialah perbalahan tentang keputusan muzakarah bagi Tarekat Naqsyabandi al-Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim al- Haqqani," titah baginda pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI bertitah isu tersebut tidak sepatutnya dipanjangkan lagi kerana telah diputuskan secara konsensus oleh para mufti dan ahli muzakarah yang hadir pada 2020 di Kuantan, Pahang yang memutuskan selepas kajian semula, tarekat itu boleh diamalkan oleh pengikutnya.

Sultan Selangor juga bertitah agar Jawatankuasa Muzakarah merangka peraturan dan adab perbezaan pendapat antara ahli-ahli Jawatankuasa Muzakarah.

"Sekiranya ada mufti atau ahli yang memilih pendapat yang tidak mengharuskan sesebuah amalan yang terjadi khilaf dalam kalangan ulama terdahulu, setidak-tidaknya perlu ada Adabul Ikhtilaf, sikap 'bersetuju untuk tidak bersetuju' dan beradab dalam berbeza pendapat," titah baginda.

Baginda bertitah sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI hanya boleh dibuat oleh Pengerusi Muzakarah bagi menjamin integriti dan kepercayaan rakyat terhadap Jawatankuasa Muzakarah MKI.

"Tiada pihak lain termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh membuat kenyataan berkenaan.

"Ini penting untuk memastikan agar keputusan muzakarah di peringkat kebangsaan dan fatwa di peringkat negeri tidak dipengaruhi unsur-unsur politik kepartian. Jakim hanya bertindak sebagai urus setia Jawatankuasa Muzakarah MKI," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menegaskan bahawa apa-apa keputusan muzakarah yang dikeluarkan hendaklah juga mengambil kira hak-hak dan kepentingan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam seperti yang dijamin secara sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Ajaran Islam sebagai agama yang murni dan memberi rahmat kepada semua termasuklah yang bukan Islam hendaklah sentiasa ditonjolkan," titah baginda.

-- BERNAMA