ALOR SETAR: Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, seramai 40 pelajar bersama 10 guru dua pusat tahfiz terima sumbangan baju raya Projek Baju Raya Petron Wilayah Utara.

Wakil Pengusaha Stesen Petron Wilayah Kedah/Perlis, Datuk Mohd Zayad Ismail berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif pengusaha stesen minyak itu dalam membantu pelajar tahfiz, anak yatim dan asnaf meraikan sambutan Aidilfitri.

Katanya, projek ini yang pertama diadakan selepas dua tahun umat Islam terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana pandemik COVID-19 melanda dunia.

Jelas Mohd Zayad, seramai 27 pengusaha stesen Petron Kedah/Perlis berganding bahu mengumpul dana membeli baju raya.

“Ini adalah permulaan dan kita akan teruskan dengan tahfiz-tahfiz yang lain dan bukan setakat tahfiz-tahfiz sahaja mungkin tempat-tempat amal yang lain kerana kita juga mendapat sumbangan daripada bukan Islam dalam tabung kita ini,” kata beliau.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Terdahulu Mohd Zayad menyampaikan 50 pasang baju raya kepada pelajar Maahad Tahfiz Imam Al Jazari dan Madrasah Al-Quran As Suyuthi di Anak Bukit pada Ahad.

Hadir sama Pengurus Petron Wilayah Tengah Utara Kedah/Perlis, Raja Aziem Aziqi Raja Azid.

Sementara itu,Mudir Maahad Tahfiz Imam Al Jazari, Mohd Naim Abd Razak menyatakan rasa terharu kerana masih ada pihak yang sudi membantu membelikan baju raya untuk digayakan pada 1 Syawal ini.

Katanya, bantuan berkenaan sedikit sebanyak telah meringankan beban keluarga pelajar dalam penyediaan persiapan hari raya.

“Saya ingin mengucapkan sekali lagi terima kasih atas usaha yang murni ini sekurang-kurangnya ia dapat memberi sedikit keceriaan kepada anak-anak tahfiz kita yang akan pulang beraya tidak lama lagi setelah mana yang kita semua sedia maklum kita tidak dapat beraya hampir dua tahun,” kata Mohd Naim.

Bagi penerima sumbangan berkenaan, Adi Putra Mohd Fizol dan Amar Mohd Saiful Bahari, kedua-dua mereka sukar menyembunyikan kegembiraan kerana mendapat baju raya.