RANTAU PANJANG: Tiga kampung di sini dinaiki air ekoran limpahan air Sungai Golok pada Sabtu.

Antara kampung terlibat ialah Tersang, Tok Deh dan Padang Licin.

Sekretariat Pengurusan Bencana Pasir Mas, Kapten (PA) Mohd Arif Mohd Zain berkata, paras air Sungai Golok sudah mencecah 8.10 meter dan berada di paras waspada.

"Sekarang ini penduduk sedang bersiap sedia untuk berpindah jika ia melebihi paras 9 meter," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut beliau, limpahan air tersebut datang dari Sungai Weng, Thailand dan masuk ke Sungai Golok.

"Di sana hujan lebat manakala cuaca di sini mendung.

"Jika air Sungai Golok mencecah 10 meter ia akan melimpahi bandar Rantau Panjang bila-bila masa sahaja," katanya. - Sinar Harian