KEMAMAN: Pencemaran sungai di Kampung Pengkalan Ranggon, Kemaman mengakibatkan pelbagai spesies ikan dan udang mati dipercayai akibat keracunan.

Sehubungan itu penduduk kampung terutama nelayan sungai di kawasan itu meminta pihak berwajib mengatasi masalah yang dihadapi sejak seminggu lalu.

Menurut nelayan Adam Abdullah, pencemaran dipercayai akibat sisa buangan dari kawasan perindustrian, menyebabkan air sungai menjadi warna hitam dan berbau busuk.

"Memang terjejas teruk, kalau dulu kita dapat menahan taut ikan sehingga RM300 sehari, sekarang hanya dapat RM80 dalam seminggu," katanya.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pengkalan Ranggon, Mohamad Abdullah, keadaan ini menjadi masalah kepada penduduk, yang kebanyakannya nelayan, mencari rezeki.

"Yang menjadi masalahnya nelayan tempatan, nelayan yang mencari sumber pendapatan di kampung ini.

"Mengikut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), keadaan berpunca daripada air tiada oksigen. Jadi saya pun tidak tahu sumber dari mana.

"Kita harap kerajaan atau pihak berkuasa ambil cakna sebab inilah sumber pendapatan orang kampung," katanya.

Menurut Mohamad, situasi sama pernah berlaku pada 2015 dan ia kembali berulang pada tahun ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik Saiful Azmi Suhaili ketika dihubungi berkata, siasatan terperinci perlu dijalankan oleh pihak berwajib bagi mengenal pasti punca pencemaran.

Menurut Saiful, setakat ini sampel air dari Sungai Ranggon telah diambil pihak JAS dan berharap tindakan tegas dikenakan ke atas individu atau syarikat yang terlibat.