KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya diletakkan di bawah kuasa Parlimen supaya ia lebih bebas dan telus, terutamanya daripada pengaruh parti pemerintah.

Tegas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan, cadangan itu sebenarnya sudah beberapa kali disuarakan sebelum ini bagi memastikan kredibiliti dan reputasi badan yang diharapkan rakyat untuk membanteras korupsi itu terjaga.

Ketika ini, tertakluk dalam Akta SPRM 2009 bahawa pelantikan Ketua Pesuruhjayanya walaupun ianya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, ianya adalah atas cadangan Perdana Menteri.

“Situasi ini dilihat sebagai satu masalah dan satu kekangan yang serius kerana kebebasan SPRM terjejas apabila pemilihan calon untuk jawatan Ketua Pesuruhjaya tertakluk di bawah kuasa PM.

“Jadi secara langsung atau tidak langsung pengaruh kepada eksekutif itu mungkin akan wujud,” katanya.

Maka dengan perubahan yang dicadangkan supaya lantikan dibuat menerusi sebuah sebuah jawatankuasa terpilih Parlimen, jelas Muhammad, perkhidmatan seseorang Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak boleh ditamatkan sekiranya berlaku perubahan kerajaan atau PM baharu.

“Kecuali dengan alasan yang ditentukan menerusi satu tribunal seperti kes-kes hakim dan sebagainya

“Kita harap ia dapat dibuat tetapi perlu dilakukan perubahan dalam Perlembagaan, di akhirnya supaya SPRM menjadi sebuah suruhanjaya Perlembagaan,” jelasnya lagi.

Tonton temu bual bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:


Supaya lebih bebas & telus, SPRM patut diletakkan di bawah Parlimen - TI-M


Agenda AWANI: Duit Haram | Menggoda dan Menjerat