JOHOR BAHRU: "Saya tidak sangka suspek sanggup bunuh isteri dan bayi mereka kerana dia kelihatan baik dan tidak pernah menimbulkan masalah di kampung ini".

Demikian kata jiran kepada lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai mengelar leher isterinya yang baru habis berpantang dan bayi mereka berusia tiga bulan sehingga maut sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan menunggang motosikal dalam keadaan berbogel, hari ini.

Menceritakan lanjut, Rosiamawati Ramli, 36, yang rumahnya berhadapan dengan kediaman suspek di Jalan Dewasa, Bakar Batu, di sini, mengakui amat terkejut dengan kejadian itu.

Katanya dia diberitahu oleh anak saudara mengenai kejadian berkenaan, namun tidak berani untuk melihat mangsa dari jarak dekat, kerana bimbang suspek akan kembali.

"Saya pandang rumah suspek dari atas, nampak isteri dan bayi sudah terbaring di depan rumah mereka dalam keadaaan berlumuran darah. Suspek ada pegang sesuatu, tapi saya tidak dapat lihat dengan jelas kerana tidak memakai kaca mata ketika itu.

"Selepas itu, saya nampak suspek berbogel menaiki motosikal dan meninggalkan rumahnya, saya terus hubungi ibu suspek yang berniaga (tidak jauh dari lokasi kejadian) untuk pulang ke rumah.

"Memang terkejut dan terketar-ketar tangan hendak tekan nombor telefon ibu suspek," katanya ketika ditemui di Jalan Dewasa Kampung Bakar Batu, di sini, hari ini.

BACA: Selepas kelar isteri, bayi 3 bulan sehingga maut lelaki berbogel naik motosikal

Jelas Rosimawati, suspek seorang yang sangat baik, malah pagi semalam suspek sempat membelanja kanak-kanak di kawasan itu bersarapan pagi di warung.

"Dia memang sebaik-baik manusia, tidak pernah kacau orang. Jika bertembung juga sering angkat tangan dan bertegur sapa.

"Memang tidak sangka dia boleh bertindak seperti itu sebab semalam baru sahaja dia sarapan di sini dan belanja budak-budak yang makan sekali di warung saya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi jiran, Hairi Hanapiah, 53, berkata suspek memang seorang yang baik dan tidak mempunyai masalah pergaulan.

"Saya ada berbual dengan bapa suspek, bapanya cakap suspek juga tidak menunjukkan perubahan ketika mereka sekeluarga makan malam tadi.

"Memang terkejutlah sebab kita hari-hari lalu kawasan ini, memang kenal sekampung," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Polis, Raub Selamat berkata, mangsa, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayinya, Hans Mohd. Thakif Amir, ditemui maut di rumah mereka pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) telah berjaya membuat penangkapan ke atas suspek lelaki tempatan yang berusia 24 tahun di Permas Jaya, dua jam kemudian.

"Suspek yang ditangkap dalam keadaan bogel menunggang motosikal seperti yang tular di sosial media. Turut dirampas adalah sebilah pisau pemotong daging dan sebuah motosikal berwarna merah," katanya.