SHAH ALAM: Suspek lelaki yang diburu polis kerana disyaki terbabit dalam kes bunuh lelaki tempatan di sebuah rumah di Taman Sentosa Utama, Klang bulan lepas, diberkas semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata suspek B Perkas Rao @ Rider, 41, telah ditahan di sekitar Jalan Abadi, Seksyen 25 di sini pada 9.50 malam tadi.

"Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pagi tadi dan dibenarkan direman selama tujuh hari hingga 14 Jun," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Cha menerusi kenyataan semalam meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat kepada polis bagi mengesan Perkas Rao yang disyaki terlibat dalam kejadian bunuh membabitkan seorang mangsa berusia 34 tahun yang dipercayai dipukul suspek di dalam rumah berkenaan pada 26 Mei lepas.

"Mangsa mengalami 27 kesan pelbagai kecederaan pada seluruh badan dan patah tulang kaki kiri yang menjadi punca kematiannya," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA