Seorang lelaki disyaki terbabit dengan kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun pada Jumaat lepas, ditahan polis pada Isnin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata suspek berumur 22 tahun itu ditangkap orang awam ketika sedang meminta sedekah di hadapan Masjid Muhammadi di sini pada pukul 10.15 pagi.

"Orang awam yang mencurigai kehadiran lelaki terbabit telah menangkap suspek sebelum menyerahkan kepada polis. Siasatan awal mendapati suspek berasal dari Terengganu," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar berkaitan kes itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, semalam.

Mazlan berkata suspek akan disiasat secara terperinci bagi mengetahui sama ada terlibat dengan sindiket penculikan.

"Buat masa ini kita dapati tiada mangsa lain yang terlibat. Bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan dan kes disiasat di bawah Sekyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kejadian Jumaat lepas mangsa dibawa ke masjid oleh bapanya untuk menunaikan solat Isyak di Masjid Muhammadi sebelum didapati hilang kira-kira pukul 9 malam.

Mangsa ditemui orang awam sedang meminta sedekah di sebuah pasar raya sehari selepas kejadian sebelum diserahkan kepada bapanya Kamarolzaman Mohamad, 50, yang berniaga di Pasar Siti Khadijah di sini.