KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan telah mengambil keterangan suspek yang dikaitkan dengan raba seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di dalam lif sebuah bangunan kediaman di Jalan Kerinchi, pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, berdasarkan keterangan, adalah dimaklumkan bahawa suspek seorang pesakit mental.

Justeru katanya, suspek akan ditahan untuk dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sejurus selepas mendapat perintah mahkamah.

"Kita telah membuat semakan dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

"Rakaman percakapan mangsa dan suspek telah diambil dan berdasarkan keterangan, dimaklumkan bahawa suspek seorang pesakit mental," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, tular satu laporan polis di media sosial yang mendakwa, suspek yang dikatakan memiliki kad orang kurang upaya (OKU) mental tidak ditahan polis kerana statusnya itu.

Menurut laporan itu, ketika kejadian, mangsa bersama adik sepupunya yang berusia tiga tahun baru pulang dari kedai.

Turut dimaklumkan, kejadian yang sama pernah berlaku sebelum ini.

Ekoran itu, beberapa pihak membangkitkan persoalan tentang kemungkinan akan ada lagi individu yang akan menjadi mangsa jika suspek terus dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan.