KUALA LUMPUR: Seorang suspek lelaki yang dilaporkan ditahan polis sebelum ini kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap sekumpulan remaja dipercayai berkenalan dengan kesemua mangsa menerusi program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini, Polis Selangor telah menerima empat laporan iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan masing-masing satu di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

Menurutnya, berdasarkan laporan itu, suspek yang berusia 40-an itu melakukan perbuatan tersebut ke atas empat mangsa yang berusia 17 hingga 18 tahun.

"Siasatan awal pihak polis mendapati suspek telah berkenalan dengan kesemua pengadu dalam program motivasi yang diadakan di sekolah sekitar Selangor.

"Hasil perkenalan itu, suspek didakwa telah bertindak melakukan jenayah amang seksual fizikal ke atas semua pengadu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arjunaidi memberitahu, bertindak atas maklumat, polis membuat tangkapan ke atas suspek, kira-kira pukul 4 petang pada 8 September lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Kebenaran tahanan reman selama enam hari mulai Jumaat sehingga 14 September diperolehi dari Mahkamah Majistret Klang bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek," ujarnya.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana ia akan menjejaskan siasatanserta boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini media melaporkan seorang selebriti lelaki ditahan polis di sekitar daerah Klang pada Khamis untuk siasatan kes amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak dan remaja lelaki.