KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing berjaya ditahan polis selepas bertindak agresif serta hampir merempuh anggota polis dalam cubaan untuk melarikan diri, di Manggatal.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang itu melihat polis terpaksa melepaskan dua tembakan ke arah tayar kereta Perodua Myvi yang dipandu suspek berusia 20-an terbabit.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman, pihaknya telah menjalankan operasi ‘Op Tapis’ selepas mengesyaki terdapat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, suspek enggan memberi kerjasama ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, dan bertindak agresif dengan merempuh kenderaan pasukan beberapa kali.

“Suspek turut cuba melanggar anggota polis dengan cara merempuh dari bahagian hadapan kenderaan namun sempat dielakkan pasukan operasi.

“Pihak polis kemudiannya melepaskan dua das tembakan ke tayar hadapan kiri dan kanan bagi mempertahankan diri,” katanya.

George berkata, suspek berjaya melarikan diri namun kenderaannya hanya mampu bergerak sejauh 120 meter daripada tempat kejadian sebelum ditahan pasukan polis.

Pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan dua paket plastik lutsinar, setiap satu berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat kasar keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 100 gram dan suspek terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.

Terdahulu, kejadian berkenaan sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum tular di laman sosial.