Namun, setelah buat pertama kali dibayangkan oleh Lamborghini pada pameran kereta Beijing 2012, mereka akhirnya akan memperkenalkan model ketiga. Kali ini ia adalah sebuah SUV yang diberikan nama ‘Urus’. Model ini dijangka akan mula dijual pada tahun 2018.
Projek ini akan melibatkan kerjasama beberapa pihak terutamanya daripada Volkswagen AG dan Audi AG (kedua-duanya pemilik saham Lamborghini yang penting), Kementerian Pembangunan Ekonomi Itali, Invitalia (sebuah agensi kebangsaan Itali untuk pembangunan ekonomi dan pelaburan dalaman), wakil persatuan pekerja dan juga keseluruhan pasukan Lamborghini Automobili.
Antara yang sudah disahkan adalah model ini akan dipasang di kilang Lamborghini juga iaitu di Sant’ Agata, Itali. Dijangka bahawa syarikat akan membuat pelaburan sehingga jutaan Euro bagi penghasilan Urus baharu.
Oleh itu, saiz kilang sekarang yang sebesar 80,000 meter persegi akan ditambah kepada 150,000 meter persegi. Lamborghini juga berhasrat untuk menambah kakitangan sebanyak 500 orang.
Langkah ini tidak banyak bezanya dengan tindakan Porsche pada tahun 2002 apabila memperkenalkan model SUV mereka, Cayenne. Sejak itu, jumlah kereta yang dijual oleh syarikat Jerman itu bertambah secara mendadak, sehingga sekarang mencapai lebih kurang 180,000 unit setahun; satu angka yang hebat memandangkan Porsche masih lagi sebuah syarikat kereta ‘sport’.
Bagi Lamborghini, mereka menjangka akan dapat menjual sehingga 3,000 unit model Urus ini apabila dilancarkan kelak. Ini adalah menambah prestasi jualan syarikat sebanyak dua kali ganda.
Urus akan berkongsi banyak komponen dengan adik-beradik yang lain di dalam keluarga Volkswagen, khususnya Audi Q7 dan Porsche Cayenne. Ia akan mempunyai enjin V8 turbo menghasilkan 600hp yang memacu keempat-empat tayar.
Namun, ini bukanlah model SUV pertama Lamborghini. Pada era 80-an, mereka telah menghasilkan model LM002 (gambar di bawah) dengan tujuan untuk mendapatkan kontrak tentera. Tetapi ini tidak berlaku, dan pengeluaran model ini hanya terhad kepada satu jumlah yang sangat kecil. Pembeli pertama adalah Raja Hassan di Maghribi; dan dikatakan Sylvester Stallone dan Van Halen juga adalah pemilik model ini.