KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menyifatkan langkah kerajaan negeri Johor mensyaratkan ujian saringan COVID-19 terhadap sukarelawan di kawasan terjejas banjir dapat memastikan keselamatan semua pihak.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata langkah berkenaan tidak membebankan sebaliknya memastikan keselamatan sukarelawan dan mangsa banjir.

"Tiada masalah untuk Pemuda UMNO lakukannya, malah saya sendiri lakukannya di Dewan Jubli Intan (Segamat) tadi. Semuanya berjalan lancar," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai rombongan sukarelawan Pemuda dan Puteri UMNO turun padang membantu membersihkan 25 rumah mangsa banjir di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Paya, Padang Kiambang, Lubuk Lanjut dan Batu Bakar di Segamat.

Mereka turut menyampaikan bantuan antaranya dapur memasak, peralatan elektrik serta barangan peribadi.

SEMUA MENGENAI BANJIR DI SINI

Sebelum ini, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman, mendakwa enam sukarelawan Muda disoal siasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menyampaikan bantuan secara terus kepada mangsa banjir di rumah dan pusat pemindahan sementara (PPS), dan tidak meletakkannya di tempat khusus terlebih dahulu.

Beliau turut memohon maaf dan mengharapkan budi bicara pihak berkuasa terhadap sukarelawan parti itu yang memberi bantuan terus kepada mangsa banjir tanpa melalui prosedur ditetapkan pihak berkuasa daerah.