KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat bersetuju agar setiap kemudahan yang diumumkan sebelum ini dilaksanakan dengan syarat vaksinasi lengkap kekal bagi semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jelas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan, langkah itu diambil berdasarkan perkembangan terbaharu peralihan fasa PPN serta mengambil kira dominasi varian Delta iaitu sebanyak 94.9 peratus dalam kalangan varian baharu COVID-19 dalam negara.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keselamatan nyawa rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam negara, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan untuk memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat.

“Kita tidak selamat sehingga semua selamat.

“Oleh sebab itu, pada 8 Ogos dan 15 Ogos 2021, kerajaan telah mengumumkan kemudahan-kemudahan sektor sosial dan ekonomi hanya bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap,” tegas Khairy.

Manakala bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan.

Tambah beliau, perincian mengenai prodsedur operasi standard (SOP) fasa pemulihan negara akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu terdekat.

Khairy turut menegaskan bahawa kejayaan membawa negara keluar dari pandemik COVID-19 bukan hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan, tetapi juga bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP ditetapkan.

Beliau mengingatkan bahawa tumpuan juga mesti diberikan kepada pendidikan masyarakat atau community empowerment supaya seluruh masyarakat memahami peranan mereka dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik ini.

Sebelum ini, Khairy menerusi Twitter menjelaskan bahawa kebenaran makan di restoran atau ‘dine-in’ masih terhad kepada individu lengkap vaksinasi dan terpakai di semua fasa PPN.