KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia diminta mencari keunikan sendiri dalam menembusi pasaran halal yang belum diterokai.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia kerana industri halal diramal akan berkembang daripada RM8.8 trilion kepada RM14 trilion menjelang tahun 2028.

“Saya mahu syarikat Malaysia mencari keunikan sendiri dan mencari pasaran yang belum diterokai, pertimbangkanlah keperluan untuk mengubah suai usaha penjenamaan dan promosi anda dalam mengakses pasaran baharu.

“Kita perlu cekal dan berdaya saing. Inilah masanya bagi kita untuk mempelbagaikan potensi halal,” jelasnya.

Tambah Ismail, sehingga kini lebih 8,000 syarikat tempatan telah diiktiraf halal dan 20 peratus daripada jumlah itu merupakan syarikat pengeksport.

Justeru, penganjuran MIHAS merupakan satu testimoni kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan strategi kerajaan dalam memacu pembangunan dan inovasi industri halal di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

Malah, peningkatan jualan sektor halal juga, tambah Ismail Sabri, telah melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di samping membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pemain industri.

"Peningkatan hasil jualan daripada pameran perdagangan bertaraf antarabangsa seumpama MIHAS dari tahun ke tahun akan memberi kesan limpahan kepada sektor berkaitan halal, dan secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan syarikat-syarikat Malaysia, khususnya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Malah, peningkatan jualan sektor halal ini akhirnya akan melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di samping membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada masyarakat Malaysia untuk membawa industri halal ke peringkat antarabangsa.

"Saya berasa bangga apabila dimaklumkan dalam tempoh sembilan tahun berturut-turut, Malaysia berjaya mengekalkan tempat teratas, berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global yang terkandung dalam laporan 'State of the Global Islamic Economy 2022', menandingi 81 negara lain," katanya lagi.

Ismail berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Edisi ke-18, MIHAS 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarbangsa (MITEC) di ibu negara pada Khamis.

MIHAS edisi ke-18 berlangsung selama empat hari bermula 7 September melibatkan lebih 1,258 pameran melibatkan 32 buah negara.

Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Wilayah, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba; dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.