KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat penerbangan domestik bersetuju menambah frekuensi penerbangan dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan sebagai langkah menangani masalah harga tiket yang tinggi.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong berkata hal ini susulan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat-syarikat penerbangan domestik bagi memastikan harga tiket penerbangan yang ditawarkan adalah kompetitif.

"Kerajaan sentiasa menggalakkan syarikat-syarikat penerbangan negara untuk meningkatkan frekuensi penerbangan semasa musim perayaan khususnya di laluan yang mempunyai permintaan tinggi seperti Kuala Lumpur-Sibu, Pulau Pinang-Sibu dan Johor Bahru-Sibu.

"Bagaimanapun, keputusan untuk meningkatkan kekerapan bagi laluan berkenaan adalah keputusan komersial yang dibuat oleh syarikat penerbangan berasaskan kepada daya maju komersial laluan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) berkenaan inisiatif kerajaan untuk mengawal dan memantau harga tiket penerbangan domestik.

Henry berkata buat masa ini, terdapat 35 penerbangan seminggu bagi laluan Kuala Lumpur-Sibu, satu penerbangan seminggu bagi laluan Pulau Pinang-Sibu dan tujuh penerbangan seminggu bagi laluan Johor Baru-Sibu.

Selain itu, beliau berkata hasil pemerhatian MAVCOM pada 14 Sept lepas, harga tambang penerbangan sehala kelas ekonomi bagi tempoh penerbangan untuk musim perayaan Tahun Baru Cina 2023 iaitu dari 18 hingga 26 Jan 2023 (tempoh pemerhatian) adalah antara RM100 hingga RM1,235, manakala bagi 20 hingga 21 Jan 2023 (tempoh puncak) harga tambang sehala adalah antara RM210 hingga RM1,400.

Katanya, daripada julat harga tambang, majoriti harga tiket penerbangan tersedia untuk pembelian bagi semua laluan ekonomi sehala ke Sabah dan Sarawak pada tempoh yang dipantau adalah di bawah RM400.

-- BERNAMA