Syarikat penyelenggaraan dikompaun RM30,000, sebabkan pencemaran sungai

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 25, 2021 07:19 MYT
Premis tersebut turut diarahkan menghentikan pelepasan buangan minyak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan kadar segera bagi mengawal sebarang impak alam sekeliling yang lebih serius. - JAS
BUKIT MERTAJAM: Sebuah premis yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan komersial di Kubang Semang, Bukit Mertajam dikompaun RM30,000 susulan pencemaran sisa minyak di sungai Kubang Semang, Permatang Nibong, Bukit Mertajam.
Malah premis tersebut turut diarahkan menghentikan pelepasan buangan minyak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan kadar segera bagi mengawal sebarang impak alam sekeliling yang lebih serius.
Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang Sharifah Zakiah Syed Sahab, tindakan kompaun dikenakan ke atas premis berkenaan atas kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Ia susulan tindakan pihaknya yang menjalankan siasatan di lokasi pencemaran tersebut selepas menerima aduan awam Sabtu lalu.
Katanya, siasatan awal oleh beberapa pegawai JAS di sepanjang 4 kilometer sungai tersebut pada jam 11 malam hari sama telah mengesan kilauan minyak (oil sheen) di sungai berkenaan.
“Pemeriksaan susulan yang dijalankan pada 24 Oktober 2021 mendapati pelepasan buangan minyak tersebut adalah berpunca daripada salah sebuah premis penyelenggaraan kenderaan komersial/ lori (fleet operator) berhampiran sungai tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut mendapati pihak premis gagal menyelenggara perangkap minyak (oil trap) dan oil interceptor dengan baik yang menyebabkan berlakunya pencemaran minyak daripada premis tersebut ke dalam perairan daratan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pemeriksaan lanjut mendapati parit monsun di dalam kawasan premis turut dicemari oleh buangan minyak selain kawasan penstoran buangan terjadual, dan ruang pembasuhan kenderaan berat.
Tumpahan minyak juga dikesan di atas tanah berhampiran tangki diesel di dalam kawasan premis.
“Premis tersebut menjalankan perniagaan kontrak pengangkutan komersial dengan beberapa syarikat petrokimia utama di Malaysia, turut didapati gagal menguruskan buangan terjadual yang dihasilkan mengikut kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005” katanya.
“Premis juga gagal menyediakan Orang Yang Berwibawa (competent person) bagi menguruskan buangan terjadual seperti kehendak Seksyen 49A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974” jelas Sharifah Zakiah.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius isu pencemaran tersebut dan tindakan lebih tegas akan dikenakan kepada pihak premis bagi kesalahan-kesalahan lain yang mungkin ditemui semasa pemeriksaan susulan.
Susulan kejadian itu, Sharifah Zakiah berkata, pihaknya juga mengeluarkan notis arahan untuk menjalankan pembersihan di kawasan yang tercemar serta menjalankan kajian tanah tercemar dan menanggung sepenuhnya kos terlibat.
“Saya menyeru semua syarikat petrokimia ataupun mana-mana syarikat perniagaan di Malaysia yang menggunakan khidmat pengangkut untuk menjalankan audit pematuhan ke atas semua kontraktor yang berurusan dengan syarikat mereka, bagi sama-sama memastikan pematuhan kepada peruntukan perundangan berkaitan alam sekitar adalah dipatuhi di setiap peringkat operasi,” ujar Sharifah Zakiah.
Sebarang aduan atau maklumat berkaitan pencemaran alam sekitar yang tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar boleh dikemukakan melalui saluran talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman sesawang e-Aduan di pautan https://eaduan.doe.gov.my/.
#pencemaran sungai #syarikat penyelengaraan #denda #Jabatan Alam Sekitar