JOHOR BAHRU: Syarikat peruncit Kumpulan Usaha Keluarga Jaya Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjual telur ayam gred B melebihi harga maksimum pada awal tahun ini.

Syarikat itu, yang diwakili seorang daripada pengarahnya iaitu wanita berusia 26 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu telah menjual telur ayam gred B pada harga 70 sen sebiji iaitu melebihi harga maksimum runcit yang ditentukan dalam Jadual Ketiga (Perenggan 4) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 12) 2022 iaitu RM 0.43 sebiji.

Kumpulan Usaha Keluarga Jaya Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan itu di premis syarikat tersebut di No. 44, Jalan Perjiranan 2, Bandar Dato Onn di sini pada kira-kira 11.30 pagi 2 Jan lepas mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Syarikat itu berdepan hukuman maksimum denda RM500,000 mengikut Seksyen 18(a) akta sama dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, ia boleh didenda RM1 juta.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff manakala Orang Kena Saman diwakili peguam Farah Wahidah Mohd Sharip.

Mahkamah menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen.

-- BERNAMA