KUALA LUMPUR: Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) mengumumkan persaraan Pengerusinya Tun Musa Hitam berkuat kuasa 1 Ogos, 2021, dalam satu kenyataan.

Musa memegang jawatan tersebut sejak awal penubuhan yayasan itu pada 2006.

Beliau digantikan oleh Tan Sri Syed Hamid Albar.

Musa bagaimanapun akan terus mengetuai Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) WIEF, menurut yayasan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hamid merupakan bekas Menteri Luar dan pernah menjadi Menteri Undang-undang dan Ahli Parlimen sejak 1990 hingga 2013.

Beliau sebelum ini merupakan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Di bawah kepemimpinan Musa selama 15 tahun, Yayasan WIEF telah menganjurkan 13 forum tahunan di bandar-bandar utama, seperti London, Dubai, Astana, Jakarta, Islamabad, Kuwait dan Kuala Lumpur," kata WIEF.

"Yayasan turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Musa atas sumbangan dan komitmen perkhidmatan yang tidak ternilai dan bimbingannya selama 15 tahun ini.

"Pelbagai pengalaman dan pandangan global beliau telah memberi kesan positif terhadap pertumbuhan dan kemajuan yayasan pada tahap strategik,” kata kenyataan itu.

Yayasan turut melantik Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman sebagai Setiausaha Agung menggantikan  Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (Gabenor Pulau Pinang) berkuat kuasa 16 Ogos.

Mohd Radzi adalah diplomat dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri pada akhir perkhidmatan awamnya pada  2013.