KUALA LUMPUR: Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary hari ini secara terbuka mendedahkan 'keakrabannya' dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tokoh perniagaan itu ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? menyifatkan Anwar sebagai abang.

Berkongsi 'untold story' tersebut, Syed Mokhtar menambah beliau pertama kali bertemu dengan Anwar pada 1984, yang mana ketika itu merupakan seorang Menteri Pertanian.

Menurut Syed Mokhtar, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) telah membuka peluang kepada Bumiputera untuk mendapatkan sokongan melalui Dasar Ekonomi Baharu, ketika itu.

"Hari ini merupakan adalah hari istimewa buat saya ... Ini pertama kami saya menyampaikan ucapan (berhubung Anwar) di khalayak ramai.

"Saya minta maaf jika anda bosan tetapi saya rasa penting untuk berkongsi mengenai 'untold story' ini.

"Hari ini, saya ingin menceritakan pengalaman yang belum pernah diceritakan mengenai 'abang', di mana kali pertama saya berjumpa dengan beliau  yang membawa harapan serta impian tinggi.

"Beliau yang saya anggap sebagai pembaca, pemikir dan berfalsafah.

"Beliau tidak lain tidak bukan ialah tetamu yang hadir, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau sudah menjadi 'abang' kepada ahli perniagaan lain juga," tambahnya.

Berkongsi lagi, Syed Mokhtar yang merupakan antara individu terkaya Malaysia menambah Anwar juga sentiasa cuba untuk menyelesaikan masalah dan percaya kepada bakat yang ada kepada bumiputera.

"Saya dan Anwar mungkin mempunyai perbezaan tetapi masih wujud persamaan iaitu meminati perniagaan.

"Melalui perniagaan, kita mampu untuk melakukan amal dan membantu orang lain," ujarnya lagi.

Syed Mokhtar sebelum ini 'jarang' bercakap secara terbuka mengenai hubungannya dengan ahli politik, walaupun beliau kerap dikaitkan dengan pemimpin tertentu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Anwar hadir merasmikan Pameran ‘Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan?’ di Muzium Kesenian Islam Malaysia di ibu negara, pada Jumaat.

Pameran itu melakar sejarah tersendiri di Asia apabila menampilkan pameran seni definitif dari era Orientalism dan dianjurkan sehingga 15 Oktober ini.