KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1.1 juta di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis.

Ahli Parlimen Muar itu membuat pengakuan tersebut dari kandang tertuduh dalam prosiding yang bermula pukul 9 pagi ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Syed Saddiq mengaku tidak bersalah 2 tuduhan pecah amanah

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada), menggunakan kapasiti yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana tersebut, di mana tertuduh dengan curangnya telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.

Kejadian didakwa berlaku di Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral 2, Kuala Lumpur Sentral pada 6 Mac tahun lalu.

[TERKINI] Syed Saddiq mengaku tidak bersalah kes pecah amanah

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14 ).

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwsa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir. 

Dalam permohonan, pendakwaan menawarkan ikat jamin RM500,000 dan memintah mahkamah mengeluarkan perintah sekatan terhadap tertuduh daripada mengeluarkan kenyataan berhubung pertuduhan kepada media termasuk media sosial, selain menahan pasport serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali. 

Tertuduh yang diwakili peguam bela Gobind Singh Deo, Datuk Ambiga Sreenevasan, dan Haijan Omar membantah permohonan pendakwaan dan menyifatkannya sebagai tidak berasas. 

Bagi pertuduhan pertama, Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Sementara bagi pertuduhan kedua, mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes  pada 10 September ini untuk penyerahan dokumen.

Ketika ditemui pemberita di perkarangan kompleks mahkamah itu, Syed Saddiq berkata beliau memberi kepercayaan sepenuhnya kepada peguam Gobind Singh Deo dan Datuk S. Ambiga untuk mengendalikan kes itu.

"Saya akan membuat siaran langsung di akaun Facebook saya pada pukul 8 malam ini berhubung kes ini," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar itu membayar jaminan RM80,000 daripada jumlah keseluruhan RM330,000 yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen bagi kedua-dua pertuduhan.