PUTRAJAYA: Kerajaan sedang dalam proses menyiapkan syor berkaitan undang-undang keselamatan siber, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Bercakap dalam sidang media selepas mengadakan sesi Hari Bertemu Pelanggan (HBP) di Menara Usahawan di sini hari ini, Abdul Latiff berkata syor berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Abdul Latiff pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada 7 Okt lepas dilaporkan berkata kerajaan bercadang mewujudkan undang-undang khusus bagi memperketat keselamatan siber di negara ini.

Menurutnya, walaupun negara sudah mempunyai undang-undang berkaitan keselamatan siber seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 namun kerajaan berpendapat perlu ada satu undang-undang khas mengenainya.

Mengenai HBP, Abdul Latiff berkata ia membolehkan beliau menjadi 'posmen' rakyat apabila bertemu secara bersemuka dengan orang ramai bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

HBP yang bermula hari ini akan diadakan secara mingguan iaitu pada 3 hingga 6 petang setiap Selasa di lobi Menara Usahawan.

Hanya 10 pendaftaran awal yang dibuat melalui janji temu dalam talian akan terpilih untuk hadir bertemu menteri dengan tempoh perbincangan ditetapkan antara 10 dan 15 minit serta setiap kehadiran diwajibkan membuat ujian saringan COVID-19.

Mereka yang mahu berjumpa dengan Abdul Latiff boleh berdaftar menerusi https://forms.gle/fKQxhPzqDF5oPaw57 dengan memperincikan permasalahan yang dihadapi.

-- BERNAMA