Tabung COVID-19: Gaji PM, menteri dipotong dua bulan

Umavathi Ramayah
Mac 26, 2020 06:41 MYT
Tabung COVID-19 dilancarkan pada 11 Mac lepas sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.
Mesyuarat Kabinet yang bersidang pada Rabu memutuskan dua bulan gaji Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri dipotong untuk disalurkan kepada Tabung COVID-19.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Khamis memberitahu, langkah itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat yang terjejas berikutan penularan wabak berkenaan di negara ini.
Tabung COVID-19 telah dilancarkan pada 11 Mac lepas dan sehingga semalam, jumlah sumbangan wang terkumpul termasuk geran kerajaan adalah sebanyak RM8,493,103.48.
Wabak COVID-19 di Malaysia setakat tengah hari Khamis merekodkan 21 kematian dengan 1,796 kes positif.
#gaji #kabinet #kerajaan #koronavirus #Perdana Menteri #tabung covid19 #Timbalan Menteri