Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengesahkan telah membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Menurut beliau, langkah ini adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik.

"Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.

"Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional," katanya.

Menurut kenyataan beliau lagi, cadangan pembangunan kediaman itu yang akan dibangunkan oleh TH Properties (anak syarikat TH), dijangka memberi pulangan positif kepada kumpulan itu pada masa hadapan.

Tambah Johan, TH akan terus meneroka peluang-peluang pelaburan yang seumpamanya di dalam pasaran domestik seperti yang digaris dalam rangkakerja Alokasi Aset Strategik.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Johan menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) oleh Kumpulan TH sepertimana yang dilaporkan di dalam blog-blog tertentu.

"Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Seri Azeez Rahim menerusi Twitternya telah menafikan dakwaan pembelian tanah milik 1MDB seperti yang tersebar di media sosial sejak semalam.

Beliau juga telah mengarahkan pihak pengurusan TH untuk segera mengeluarkan kenyataan serta menyerahkan kepada mereka untuk menjawab dakwaan berkenaan.

TRX adalah projek yang dibangunkan 1MDB dan langkah membeli tanah oleh TH itu dilihat pemimpin pembangkang sebagai usaha menebus sebahagian hutang 1MDB yang bernilai RM42 bilion.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari melalui blognya www.zairil.com hari ini berkata tindakan Tabung Haji ini merupakan satu pengkhianatan terhadap jemaah haji dan meminta mereka yang bertanggungjawab meletak jawatan jika dakwaan ini didapati benar.

“Memandangkan saya dan keluarga juga adalah penyimpan dengan LTH, saya terkejut dengan tindakan pelaburan berisiko tinggi ini. Saya dengan ini menyeru pengerusi LTH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, untuk mengesahkan kebenaran dakwaan ini.

"Jika semua dakwaan ini adalah benar, maka Datuk Azeez dan menteri yang bertanggungjawab kepada LTH, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, harus meletak jawatan dengan serta merta, kerana tindakan ‘bailout’ ini tidak lain tidak bukan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan para jemaah Islam Malaysia," kata Zairil.

Menjawab dakwaan itu, Johan berkata pembelian tanah itu bukanlah satu langkah ‘bailout’ untuk 1MDB.

Keputusan pelaburan itu dibuat selepas melihat kepada unjuran pulangan sebanyak 27 peratus dalam tempoh tiga tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutif TH itu lagi sepertimana dipetik portal The New Straits Times Online.

"Ini bukan langkah ‘bailout’ untuk 1MDB. Keputusan ini dibuat berdasarkan unjuran pulangan ke atas tanah itu berdasarkan kepada harga kompetitif pembelian tersebut.

Beliau meyakinkan pendeposit agar tidak bimbang kerana ia keputusan pelaburan yang lumayan yang bakal memberikan banyak faedah kepada mereka, lapor portal itu lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, 14 anggotanya akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan siasatan ke atas 1MDB sebelum laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan.

Jelasnya, pihak 1MDB juga diharap dapat memberi kerjasama penuh bagi melancarkan siasatan berkenaan.