SEMENYIH: Lembaga Tabung Haji (TH) sudah bersedia untuk menguruskan jemaah haji dari Malaysia bagi tahun ini dan hanya menunggu kuota haji yang akan diumumkan kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata persiapan logistik dan penginapan jemaah haji Malaysia ketika berada di Arab Saudi juga sudah dilaksanakan.

"Lazimnya penerbangan pertama akan berlepas pada 1 Zulkaedah untuk membawa jemaah ke Tanah Suci Makkah," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan kepada rumah jagaan warga emas Al-Fattah di sini, hari ini.

Mengenai jangkaan pengumuman kuota haji, Idris berkata setakat hari ini pihaknya masih belum mendapat sebarang jawapan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenai perkara itu.

"Kalau ikutkan, jangkaannya adalah pada awal Ramadan namun sekarang dah pertengahan Ramadan, kita pun tak boleh jangka mungkin mereka pun sedang menghadapi masalah tersendiri di sana," katanya.

Terdahulu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan hanya satu juta jemaah haji tempatan dan antarabangsa di bawah usia 65 tahun dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini.

Dalam pada itu, pada majlis berkenaan rumah jagaan warga emas Al-Fattah menerima sumbangan RM20,000 untuk 19 penghuninya selain pemberian 50 set makanan sedia untuk dimakan bernilai RM2,500.

-- BERNAMA