BANDAR BAHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti seorang lelaki etnik Rohingya berusia 30-an yang dipercayai menjadi dalang kepada insiden rusuhan yang berlaku di Depot Imigresen Sementara Relau pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. Suresh Kumar berkata, rusuhan berkenaan berlaku sebelum kejadian 528 tahanan melarikan diri atau lolos dari depot berkenaan.

Tambahnya, lelaki berkenaan juga disahkan bebas ketika ini dan proses pengesanan dan pencarian baki tahanan masih diteruskan pihak berkuasa.

"Kita dapati memang berlaku satu insiden rusuhan dan dalam insiden (lolos) ini, kemungkinan ada pencetus atau dalang, kita telahpun kenal pasti salah seorang daripada dalang dan kita sedang menjejaki dia.

"Yang kita percayai jadi ketua ini dia mungkin sudah agak lama sikit dalam tahanan tetapi kita masih belum tangkap sebab dia meloloskan diri, selagi belum dapat kenyataan dia, apa yang kita buat sekarang adalah lebih kepada andaian," kata Suresh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Suresh memaklumkan, polis masih menunggu laporan bedah siasat seorang tahanan yang didapati meninggal dunia sebelum rusuhan berlaku.  

"Berkaitan kematian (ini) saya ingin tegaskan di sini, semalam Ketua Polis Kedah (juga) telah beri kenyataan media kematian ini tiada kaitan atau akibat rusuhan itu, insiden kematian telah berlaku sebelum rusuhan atau kejadian (lolos)," jelas beliau.

Tambahnya, setakat ini pihak polis telah melaksanakan soal siasat keatas lebih 200 individu termasuk tahanan, kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas ketika kejadian berlaku.