LABUAN: Ahli perniagaan terkenal Labuan Datuk Seri Peter Kong yang juga pengasas perkhidmatan feri Ro-Ro pulau itu, meninggal dunia tengah hari semalam di Hospital Nukleus Labuan pada usia 65 tahun.

Kakak mendiang Rozi Kong berkata, Peter yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada pukul 12.40 tengah hari itu, meninggalkan tiga anak lelaki, termasuk seorang doktor.

Adik mendiang Angela Kong pula memberitahu, mayat abangnya itu akan dibawa ke rumah anaknya di Taman Fulliwa petang ini dan selepas upacara penghormatan, akan dikebumikan di tanah perkuburan Buddha berhampiran Taman Fulliwa pada Rabu (1 Feb) jam 2 petang.

Peter merupakan seorang taikun terkenal di pulau bebas cukai itu, merupakan pengasas kepada pengangkutan paling penting di Labuan iaitu perkhidmatan feri ro-ro yang memberikan perkhidmatan laluan antara Labuan-Menumbok-Labuan, sejak lebih sedekad menerusi Labuan Ferry Sdn Bhd.

Beliau juga merupakan salah seorang pengasas parti MCA di Labuan dan kemudiannya menjadi Ketua Pemuda MCA Labuan (1990an), dan kemudiannya menyertai parti berasal dari Sabah UPKO, sebagai penasihat UPKO Labuan (2017) sebelum bertukar ke Parti Harapan Rakyat Sabah (sebagai timbalan presiden (kuota kaum Cina)), dan beliau dikenali kerana kelantangan beliau terhadap banyak isu berkaitan masyarakat.

Peter turut membeli hotel tertua di Labuan Hotel Waterfront dan kemudiannya menamakannya semula sebagai Billion Waterfront Resort.

-- BERNAMA