KUALA LUMPUR: Kerajaan Tajikistan memperkenalkan sistem pengecualian visa sehala untuk warga 52 negara termasuk Malaysia, mulai 1 Januari 2022.

Duta Besar Tajikistan ke Malaysia Ardasher Qodiri berkata di bawah langkah itu, menurut Dekri Kerajaan Tajikistan bertarikh 26 Oktober 2021, rakyat daripada 52 negara itu dibenarkan masuk, tinggal dan keluar dari Tajikistan dalam tempoh 30 hari, manakala sebarang permohonan untuk tinggal lebih lama akan dibuat mengikut undang-undang Tajikistan.

Dekri kerajaan Tajikistan itu dijangka dapat meningkatkan hubungannya dengan negara-negara itu dalam pelbagai bidang seperti pelancongan dan ekonomi serta hubungan antara rakyat.

"Dekri itu bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara negara dalam bidang pelancongan, kebudayaan serta menyediakan lebih banyak peluang kepada komuniti perniagaan dan menggalakkan mereka meneroka potensi pelaburan di Tajikistan," kata Qodiri kepada Bernama dalam satu temu bual.

Dalam dekri lain Kerajaan Tajikistan, 14 negara lain dimasukkan ke dalam senarai negara yang warganegaranya layak mendapat visa di bawah prosedur yang dipermudahkan.

Tajikistan, sebuah negara yang dikelilingi daratan dengan kira-kira 9.5 juta penduduk terletak di Asia Tengah dan bersempadan dengan Afghanistan, China, Kyrgyzstan dan Uzbekistan.

Negara itu menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1992. Pada masa lalu Dushanbe dan Kuala Lumpur menyaksikan lawatan peringkat tertinggi oleh pemimpin masing-masing. Presiden republik itu Emomali Rahmon melawat Malaysia pada 2014.

Berikutan perpecahan Soviet, kemerdekaan Tajikistan diisytiharkan pada 1991. Negara itu menyambut ulang tahun ke-30 kemerdekaannya pada September tahun ini.

-- BERNAMA